The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Previu Perlawanan Piala Malaysia Separuh Akhir (1) | Selangor FC lwn Kuching City FC | Kita Pertahankan Kubu Gergasi Merah

Apr 05, 2026 - FAS

Selangor FC bakal berdepan Kuching City FC dalam aksi Separuh Akhir pertama saingan Piala Malaysia malam ini di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, dengan sepak mula dijadualkan pada jam 8:15 malam.

Skuad Gergasi Merah tampil dengan prestasi cemerlang sepanjang kempen Piala Malaysia musim ini. Pada Pusingan 16, Selangor FC mencatat kemenangan agregat 12-1 ke atas Malaysian University hasil kemenangan 3-1 dan 9-0 dalam dua perlawanan. Momentum tersebut diteruskan di peringkat suku akhir apabila Gergasi Merah menewaskan Negeri Sembilan FC dengan agregat 6-3, selepas menang 4-0 di laman sendiri sebelum melengkapkan kemaraan dengan kemenangan 3-2 di tempat lawan.

Ketua Jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon, percaya pasukan mampu memberikan persembahan terbaik walaupun tempoh persiapan yang singkat.

“Persiapan agak singkat, jadi kami manfaatkan sepenuhnya masa yang ada termasuk kepulangan pemain-pemain kebangsaan. Dari segi mental, kita perlu fokus kepada pelan permainan, pemahaman dan komunikasi. Beberapa pemain mengalami kecederaan kecil, tetapi itu bukan penghalang untuk kami beraksi dengan baik. Dalam perlawanan sebelum ini, kita bermula dengan baik tetapi bolos pada minit-minit akhir. Kali ini, kami bertekad untuk tidak mengulanginya dan kembali ke prestasi terbaik,” jelas beliau.

Mengulas mengenai pihak lawan, beliau menghormati mereka dan menjangkakan cabaran sengit daripada Kuching City FC, 

“Kuching City adalah pasukan yang kuat dan kami menghormati mereka. Mereka memiliki kualiti individu yang baik, terutama di bahagian serangan. Namun, kita yakin dengan kemampuan pemain untuk memberikan cabaran kepada mereka. Bermain di laman sendiri adalah kelebihan buat kami dan dengan sokongan padu penyokong, kita mahu mempertahankan kubu sendiri,” tambahnya.

Ayuh penyokong Gergasi Merah, turun beramai-ramai ke Stadium MBPJ malam ini dan berikan sokongan padu kepada pasukan. Dapatkan tiket anda di sini dan jadilah sebahagian daripada semangat perjuangan ini.

Pihak pengurusan Selangor FC mendoakan kejayaan pasukan dalam aksi Separuh Akhir pertama ini. Pertahankan kubu kita, Gergasi Merah!

Demi Kebanggaan!